Buli adalah perlakuan yang menindas mangsa (victim) sehingga boleh menyebabkan kesan buruk seperti kecederaan dan kematian. Malah, terdapat juga buli secara emosi atau siber. Walau apa pun bentuk buli, pelaku (perpetrator) mempunyai niat buruk ke atas mangsa dan dianggap sebagai jenayah boleh disabitkan di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876).
Hari demi hari, terdapat kes-kes buli yang dilaporkan di media massa seolah-olah menggambarkan tiada kesudahannya. Episod buli telah lama menghantui hati nurani rakyat Malaysia. Antara kisah buli yang tragis seperti Zulfarhan dan Qistina Zara menyebabkan warga Malaysia berasa amat terkesan dan bersimpati ke atas mangsa dan berasa geram yang amat sangat atas perlakuan pembuli.
Tindakan perlu diambil segera bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa. Pihak yang berkenaan perlu menyelidiki sehingga ke akar umbi 'barah' punca utama berlakunya buli. Kefahaman awal penting bagi memastikan tindakan yang sewajarnya boleh diambil bagi membendung perlakuan buli. Ini adalah kerana, buli tidak mungkin boleh terjadi andai pelaku tidak mempunyai peluang langsung untuk berniat atau melakukan perbuatan buli. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menjadikan Malaysia sebuah negara sifar buli, seperti berikut:
Semua pihak wajar berganding bahu dan menyinsing lengan bagi sama-sama memastikan tiada langsung peluang terjadinya buli. Antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan menggunakan peralatan pencegahan buli (bully awareness kit) bagi membolehkan mangsa menghubungi pihak berkuasa sama ada warden atu polis bagi mengekang kejadian buli bertambah parah. Pengesanan awal adalah penting bagi menyelamatkan nyawa mangsa. Pihak berkuasa dapat tiba ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima aduan secara terus daripada mangsa tanpa disedari oleh pelaku.
Selain itu, kebanyakkan kawasan seperti asrama, tandas atau kelas harus dilengkapi CCTV yang tersembunyi bagi mengenalpasti lokasi kejadian buli dengan lebih tepat dan boleh dijadikan bahan bukti utama oleh pihak berkuasa.
Tindakan yang lebih tegas iaitu bayaran pampasan sehingga RM250K juga adalah salah satu isyarat buat ibubapa pelaku supaya memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sebagai pelaku buli. Pendekatan ini mampu membuatkan ibubapa sentiasa memantau tingkahlaku dan memberi peringatan yang kerap kepada anak-anak supaya tidak terlibat dalam amalan buli.
Begitu juga, pihak kerajaan melalui MMC dapat menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi mengekang masuk apa sahaja laman web sosial atau permainan video yang berunsur keganasan agar tidak menjadi ikutan generasi muda. Anasir-anasir jahat dan buruk ini seharusnya dijauhkan daripada tatapan mereka agar pewaris negara ini tidak terikut-ikut dengan tingkahlaku ganas dalam minda mereka.
Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang positif berkenaan konsep hormat-menghormati, kasih sayang sesama insan dan menyemai sifat tolak ansur dalam hdup bermasyarakat dalam diri pelajar.
Akhir sekali, penyelesaian kepada masalah buli tidak akan dapat diselesaikan selagi segala bentuk hukuman atau denda tidak disulami dengan perubahan tingkahlaku manusiawi yang syumul.